Loading...


Melayu Orang Pertama Mengelilingi Dunia Bukannya Barat

Comments

Salam semua.
            Mungkin ada di antara kita yang pernah terdengar tentang kisah yang membuktikan bahawa Melayu adalah orang pertama yang mengelilingi dunia menggunakan kapal layar dan bukannya Magellan seperti yang termaktub dalam kitab sejarah Barat.Berpandukan fakta dan sumber sejarah yang ada,novel sejarah Panglima Awang hasil karya Harun Aminurrashid  telah diangkat oleh masyarakat kita pada suatu masa dahulu dan ia dijadikan silibus pendidikan untuk Malaysian Certificate of Education (MCE).Enrique adalah nama Melayu yang dikatakan telah berjaya  mengelilingi dunia dengan menghabiskan pelayaran di Cebu dan Melaka selepas kematian Kapitan Magellan menurut artikel lama Strait Times yang diakui sendiri oleh beberapa pakar sejarah.
Karya kreatif novel Panglima Awang merupakan sebuah penulisan agung yang mengembalikan kegemilangan dunia Melayu sebagai tamadun yang unggul di Asia Tenggara.Semangat nasionalisme yang ditonjolkan dalam karya ini membuktikan bahawa pengarangnya,Harun Aminurrashid adalah seorang yang berjiwa patriotisme.Karya ini juga merupakan karya yang paling berjaya kerana temanya yang mengangkat martabat melayu telah dipilih sebagai teks bacaan bagi subjek sastera dalam Senior Cambridge dan Malaysian Certificate of Education.
Panglima Awang digambarkan sebagai seorang yang tangkas dan licik mengatur strategi dalam gerakan menentang Peringgi atau Portugis.Walaupun ditangkap namun serangan tetap berlanjutan sehingga Portugis terpaksa memindahkan Panglima Awang kerana mereka beranggapan dia adalah nadi utama kepada kebangkitan Melayu.Panglima Awang dipindahkan ke Portugal menjadi hamba dan namanya ditukar kepada Enrique.
Kerana sikapnya yang sopan hubungan beliau menjadi akrab dengan tuannya iaitu Kapitan Fernado(Ferdinand Magellan).Adik Fernado iaitu Mariam telah terpikat kepada Panglima Awang namun ia tidak kesampaian apabila Panglima Awang dan Fernado belayar ke Sepanyol atas faktor keselamatan.Magellan akhirnya terbunuh semasa pertempuran di Pulau Mactan bagi membantu Raja Humabon mengalahkan musuhnya.Rentetan itu berlaku perselisihan faham dan keadaan menjadi huru-hara kerana ketiadaan nakhoda.Barbosa,pengganti Magellan ingin memerangkap Raja Humabon yang dituduh sebagai penyebab kematian Magellan.Namun niat itu gagal kerana ianya dapat dibaca oleh Panglima Awang.
Kemudian Panglima Awang berpakat pula dengan Raja Cebu untuk menawan kapal-kapal Sepanyol.Disebabkan pergelutan itu Panglima Awang berjaya pulang ke Melaka dengan menumpang kapal dagang Siam.Dia akhirnya menyambung perjuangannya semula dan bertemu dengan kekasihnya Tun Gayah. Novel ini jelas mengambarkan Enrique seorang hamba yang setia dan kuat berpegang kepada agama walaupun digoda oleh adik Magellan iaitu Mariam.
Daripada novel ini Panglima Awang diangkat sebagai manusia pertama yang mengelilingi dunia dan bukannya Magellan.Kisah daripada novel ini merungkai sedikit kesangsian bahawa Magellan adalah manusia pertama yang mengelilingi dunia kerana jika dilihat pada fakta sejarah,Magellan mati sebelum sempat merentasi Pulau Cebu dan juga Melaka.Novel ini dianggap karya terbaik dalam penulisan sejarah Melayu.Harun Aminurrashid atau pengarang merupakan perintis kepada novel sejarah Malaysia.
Walaupun sumber yang terbatas namun berbekalkan daya imaginasi dan kreativiti yang tinggi novel ini berjaya dihasilkan dengan begitu baik sekali.Nama Awang direka kerana ia merupakan nama yang paling sesuai dan merupakan simbol kewiraan Melayu.Novel Panglima Awang mendidik masyarakat Melayu agar mempunyai semangat kental dalam mengembalikan kegemilangan Melayu.Terdapat juga novel yang menggunakan pelayaran Panglima Awang sebagai latar belakangnya iaitu Novel “Enrique Mengundang Jauh” karya HM Tuah Iskandar.Namun fakta sejarahnya agak menyimpang daripada fakta sebenar.
Walaupun terdapat keraguan dalam menentukan manusia pertama yang mengelilingi dunia,namun karya Harun Aminurrashid mempunyai kekuatan yang cukup kuat dari segi kelogikan akal.Walaupun terdapat karya lain yang menyangkal dakwaan Panglima Awang atau Enrique bukanlah daripada bangsa Melayu namun ia adalah karya yang agak meragukan.Karya Quiniro yang bertajuk “Who’s Who in Philiphines” tidak mengambarkan latar belakang yang selari dengan fakta sejarah di mana Enrique dikatakan sedang memancing lalu dibawa belayar ke Melaka untuk dijual sebagai hamba.Ia seolah-olah direka untuk menguatkan fakta bahawa Enrique adalah berasal daripada Peribumi Filipina.
Dalam novel hasil karya Harun Aminurrashid,perwatakan Panglima Awang adalah lebih selari dengan fakta sejarah walaupun sumber maklumat yang diperolehi adalah terbatas.Berbekal dengan sumber daripada beberapa keratan akhbar dan juga gabungan di antara imaginasi dan kreativiti ia adalah sebuah novel yang tinggi mutu karyanya.Bukan sekadar itu sahaja ianya juga mengandungi banyak pengajaran yang dapat dipelajari daripada penulisan sejarah yang begitu kreatif.Antaranya kepentingan kualiti diri adalah aspek penting dalam pembinaan sahsiah diri untuk mengharungi kehidupan yang mencabar pada masa hadapan terutamanya ketika ini.